'

AMANAH KECAM TINDAKAN HALANG MOHAMAD SABU MASUK SARAWAK

ANUAR-TAHIR-AMANAH_LAUNCH_160915_TMISETH_031. Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam keras tindakan menghalang Presiden AMANAH Tn. Hj. Mohamad Sabu memasuki negeri Sarawak seperti yang berlaku hari ini.
2. Tn. Hj. Mohamad Sabu tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira jam 10.30 pagi ini dalam rangka lawatan dua hari ke negeri itu. Beliau bagaimanapun ditahan ketika mahu melepasi pemeriksaan imigresen dan hanya dimaklumkan halangan itu atas arahan Pejabat Ketua Menteri.
3. Parti AMANAH ingin mengingatkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bahawa Sarawak salah sebuah negeri di dalam Persekutuan Malaysia. Tidak sepatutnya hak mana-mana warganegara untuk masuk ke negeri itu dihalang.
4. Ternyata sangkaan AMANAH bahawa Adenan berbeza dari pemimpin sebelumnya, meleset dan silap. Sikap angkuh yang ditunjukkan oleh Adenan hari ini menyaksikan betapa beliau masih di dalam kerangka pemikiran sempit politik lama, seperti diamalkan bekas Ketua Menteri sebelumnya.
5. Sebelum ini, beberapa pepimpin Pakatan Harapan antaranya YB Nurul Izzah Anwar, Datuk Saifuddin Nasution, YB Rafizi Ramli, YB Tian Chua, YB Teresa Kok, YB Zuraida Kamaruddin dan beberapa lagi juga dihalang daripada memasuki negeri itu.
6. Apa yang jelas, tindakan terdesak menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan dalam masa terdekat ini, menunjukkan betapa Ketua Menteri berada dalam ketakutan dan cuba menyekat suara perubahan dan kebangkitan rakyat.

“Harapan Baru”

HJ MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
22 Mac 2016

CATEGORIES