- Parti Amanah Negara (AMANAH) mengalu-alukan kenyataan Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kongres Nasional Ke-11 parti itu semalam bahawa Pakatan Harapan mesti terus diperkukuhkan.
- Ketika menyampaikan ucapan dasar presiden, beliau menyebut bahawa pakatan baharu iaitu Pakatan Harapan yang dibentuk adalah penyambung kepada penyempurnaan amanah rakyat menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur.
- Beliau juga menyebut bahawa Pakatan Harapan yang terdiri daripada KEADILAN, DAP dan AMANAH akan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat, untuk berhadapan dengan Umno BN.
- Bagi Parti AMANAH, penegasan oleh Presiden KEADILAN itu perlu disambut baik oleh semua pihak, dan bersama-sama berusaha ke arah kesepakatan politik Pakatan Harapan yang lebih utuh.
- AMANAH juga berharap agar tiada mana-mana pemimpin daripada mana-mana parti dalam Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan semangat kerjasama sehingga boleh mengeruhkan suasana.
- Jangan ada di antara mana-mana pimpinan Pakatan Harapan yang cuba untuk memberikan talian hayat kepada Umno BN, di saat gelombang rakyat sedang menolak mereka ekoran pelbagai skandal dan masalah yang melanda negara.
- Akhir sekali, AMANAH ingin mengulangi komitmen, bahawa kami akan terus menjaga perinsip kesepakatan dalam Pakatan Harapan, demi sebuah pakatan pembangkang yang kuat untuk menumbangkan Umno BN pada PRU-14.
“Harapan Baru”
HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
29 November 2015