AMANAH SOKONG SATU LAWAN SATU PRU-14


KhalidSamad1.    Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik kenyataan Timbalan Presiden PKR bahawa hanya satu lawan satu dalam PRU-14. Ini adalah pendekatan terbaik untuk memungkinan Umno BN dikalahkan dalam PRU-14 akan datang. Itulah antara sebabnya AMANAH bersama mengasaskan Pakatan Harapan selepas Pakatan Rakyat berkubur.

2.    Konsep Pakatan Harapan, seperti mana Pakatan Rakyat, adalah gabungan parti-parti politik pembangkang yang komited kepada usaha menjatuhkan Umno BN sambil berpegang kepada janji untuk melaksanakan dasar-dasar yang dipersetujui bersama. Ianya gabungan parti-parti secara rela dan saling menghormati tanpa adanya mana-mana parti yang dianggap sebagai ‘mendominasi’ atau berkuasa ke atas yang lain. Ianya ‘a partnership of equals’.

3.    AMANAH berkeyakinan bahawa semua parti yang ingin melihat berakhirnya era pemerintahan Umno BN akan bersama dalam Pakatan Harapan atau paling kurang mempunyai perjanjian kerjasama dengannya untuk menjamin satu lawan satu. Mana-mana parti yang tidak bersedia untuk mengusahakan kesepakatan ini hanya membantu Umno BN.

4.    Namun, AMANAH mengingatkan semua supaya setelah dipersetujui satu lawan satu sebagai cara mengalahkan Umno BN dalam PRU ke-14, maka pengalaman PRU ke-13 tidak boleh berulang. Seperti mana sedia maklum, satu lawan satu walaupun dipersetujui semasa PRU ke-13, khususnya di semenanjung, tetapi ada juga yang telah engkar dengan apa yang telah dipersetujui bersama. Akhirnya calon Umno BN telah menang di kerusi-kerusi berkenaan.

5.    AMANAH ingin mencadangkan supaya selain daripada perjanjian satu lawan satu, perlu juga ada perjanjian untuk tidak berunding dengan pihak Umno BN oleh mana-mana parti secara bersendirian setelah menang. Kemenangan ini mesti dilihat sebagai kemenangan hasil usaha bersama dan oleh itu apa-apa usaha untuk berunding dengan pihak lawan secara bersendirian setelah menang adalah pengkhianatan yang nyata.

6.    AMANAH, sebagai parti yang bersikap terbuka dan inklusif, sentiasa bersedia untuk berbincang dengan semua pihak yang berkaitan, khususnya melalui Pakatan Harapan, untuk menentukan kaedah satu lawan satu tercapai.

7.    AMANAH ingin menyatakan bantahannya terhadap usaha PAS untuk memperkudakan PKR dengan meminta supaya PKR menghalang AMANAH daripada bertanding. Sikap parokial, tertutup dan anti-demokratik PAS seperti ini adalah antara sebab AMANAH ditubuhkan.

8.    PAS perlu difahamkan semua pihak, termasuk AMANAH, berhak untuk bertanding di mana sahaja ia ingin bertanding. Kebersamaan AMANAH dengan Pakatan Harapan bukan kerana AMANAH tidak mampu bersendirian tetapi atas kesedaran akan tangung-jawabnya terhadap rakyat yang ingin melihat kekuatan semua parti pembangkang digemblengkan dalam usaha bersama untuk menjatuhkan Umno BN.

9.    AMANAH dengan ini mengesyorkan supaya semua pihak menyokong penuh usaha menjamin satu lawan satu pada PRU ke-14 sambil mengiktiraf kekuatan dan hak masing-masing. Semoga perundingan dan perbincangan diadakan dengan semangat tawadhu’, rendah diri sambil mengutamakan kewajiban kita terhadap rakyat yang ingin bebas dari pemerintahan Umno BN.

10. Rakyat mesti diyakinkan bahawa hanya Pakatan Harapan alternatif terbaik bagi menggantikan Umno dan Barisan Nasional dalam PRU ke 14 kelak.

“Harapan Baru”

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi AMANAH
Jeddah, 29hb Nov 2015.