Kerjasama Pas: Mat Sabu kata bincang dulu


image (1)

SHAH ALAM – Parti Pekerja Malaysia (PPM) yang dilancarkan hari ini sedia bekerjasama dengan mana-mana parti dalam pembentukan PR 2.0.

Presidennya, Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, parti itu mengambil langkah untuk berbincang bersama PKR dan DAP soal kerjasama yang bakal dibentuk dalam pakatan baru itu nanti.

“Tunggu kami bincang dulu,” katanya pada sidang media majlis pelancaran perdana Amanah di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.

Ditanya mengenai langkah untuk berbaik dengan Pas, Mohamad atau dipanggil Mat Sabu hanya menjawab ringkas.

“Kita ambil langkah berbaik dengan semua parti termasuk badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Pada masa sama, Mat Sabu turut menyangkal dakwaan bawah penubuhan Parti Pekerja Malaysia merupakan tindakan menggantikan Pas.

“Amanah (Parti Pekerja Malaysia) bukan hendak tukar Pas, tetapi kita mahu tukar kerajaan. Hendak ambil alih Putrajaya daripada BN,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pekerja Malaysia, Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat bersama semua presiden parti akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kerjasama dengan Pas bergantung pada hasil keputusan mesyuarat itu nanti. Pendirian kami tetap sama, sedia bekerjasama dengan mana-mana parti,” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) penggal akan datang, Mat Sabu berkata, fokus mereka ketika ini adalah pada pentadbiran parti baru.