SHAH ALAM – 16 September menjadi tarikh keramat buat Parti Amanah Negara (Amanah) apabila melancarkan nama, logo dan bendera baru, semalam.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata, melalui gerakan Harapan Baru, telah memulakan langkah mendaftar parti politik baru iaitu Parti Progresif Islam.
“Memahami kesukaran dan cabaran memperoleh kelulusan, rundingan dilakukan dengan memanfaatkan wadah politik melalui Parti Pekerja Malaysia (PPM).
“Segala pindaan, penggunaan nama, logo telah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS). Kini hanya tinggal formaliti untuk menanti kelulusan,” katanya ketika menyampaikan pidato Presiden pada majlis pelancaran Perdana Parti Amanah Negara (Amanah) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), semalam.
Katanya, kelahiran Parti Amanah Negara (Amanah) adalah sebagai tindak balas responsif atau kepedulian kepada keresahan dan desakan rakyat akibat pelbagai isu yang melanda negara ketika ini.
“Ketempangan tadbir urus ekonomi serta kebejatan pengurusan kewangan negara terserlah dengan pelbagai skandal termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kegagalan mengurus khazanah kekayaan dengan baik dan mapan, meletakkan hutang kerajaan terus membengkak dan Hutang Dijamin Kerajaan meningkat. Negara hilang daya saing, kejatuhan ringgit menjadikan Malaysia bukan lagi destinasi pilihan pelabur,” katanya.
Katanya, rakyat terus tersepit dengan pelaksanaan GST. Episod keangkuhan eksekutif amat ketara mutakhir ini.
Katanya, sejurus pengambilalihan wadah politik baru sempurna, Amanah akan usahakan momentum perubahan politik melalui permuafakatan politik yang jujur dan komited terhadap kesepakatan bersama rakan parti politik dengan penubuhan PR.
“Amanah akan terus berpaksi kepada politik yang berteraskan prinsip, ilmu pengetahuan dan akhlak mulia.
“Amanah bersedia mewujudkan budaya mengurus perbezaan pandangan, pelaksanaan prinsip kebebasan bersuara dan tuntutan kesaksamaan seperti di anjur Islam bagi melahirkan sebuah masyarakat madani,” katanya.
Dalam konteks politik di negara ini yang berbilang bangsa, agama dan budaya, amat mustahak Amanah berdiri dengan sifat perbezaan.
SUMBER: Sinar Harian