Sangat malu apabila melihat cara umat Islam dan pimpinannya mengendalikan masalah ummah pada hari ini. Ketika masyarakat Cina dan India serta masyarakat berbilang kaum cuba menagih apa yang mereka rasakan hak mereka, pemimpin sebahagian gerakan ulamanya lari daripada menghadapi masalah ini.
Ini bertentangan dengan jiwa seorang khalifah. Seorang Khalifah sewajarnya bangkit di meja perundingan dan mencari jalan keluar serta mencipta jalan penyelesaian. Lebih menyedihkan, musnah kehaibatan seorang khalifah apabila mengisytiharkan anak-anak buah mereka sendiri sebagai musuh.
Kita sepatutnya memimpin dan memandu masyarakat bukan Islam bagaimana menjalani kehidupan bersama sebagai rakyat Malaysia. Kita tidak boleh jemu memujuk masyarakat Islam dan bukan Islam untuk berkongsi kehidupan, kerana seorang khalifah merasakan mereka wakil kepada Tuhan di bumi ini.
Tugas wakil Tuhan adalah untuk mengatur bumi sebagaimana yang Tuhan kehendaki. Khalifah seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman a.s mengurus manusia dengan penuh bijaksana tetapi tetap tegas. Nabi Sulaiman a.s mengurus dua ibu yang berebut-rebut mengaki si bayi sebagai anak mereka.
Nabi Sulaiman a.s yakin salah seorang wanita itu pasti bukan ibu si bayi dengan meletakkan kebarangkalian salah seorang daripada ibu bayi itu salah faham atau menipu atau ada pelbagai kemungkinan lain.
Dengan bijaksana, sabar dan menggunakan ilmu, Nabi Sulaiman a.s menawarkan untuk mengerat dua bayi tersebut untuk dikongsikan. Naluri sayangkan bayi sendiri membuat ibu sebenar berundur demi menyelamatkan bayinya. Kasih dan sayang semulajadi seorang wanita terserlah. Adapun seorang lagi yang hidup dalam keadaan menipu; bersetuju untuk dibelah dua, terserlah kehilangannya terhadap erti sebuah sayang.
Pemimpin gerakan Islam dan ulamanya perlu menunjukkan bahawa kita berjiwa khalifah. Kita penyelesai masalahdan pengatur hidup manusia, walau dalam kalangan manusia ada yang merancang untuk menipu kita sendiri. Kita adalah pemimpin kepada manusia yang baik dan yang tidak baik atau yang belum baik.
Ayuh! Masiha ada masa dan peluang untuk pemimpin gerakan Islam dan ulamanya serta pengikut-pengikut mereka, untuk keluar dari alam persembunyian dan kita bersama-sama memimpin dunia dan karenahnya.
USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS
Naib Pengerusi
PARTI AMANAH NEGARA
09/09/2015