Dalam buku terbaru saya, Islam dan Kepelbagaian: Rahmat Untuk Semua (terbitan Ilham Books), saya memperkenalkan konsep Rahmat, prinsipnya dan pendekatan untuk membawa nilai Rahmat dalam kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.
Ianya tidak hanya membahaskan dari sudut teori dan falsafah, bahkan saya membawanya kepada dalam konteks realiti fiqh Malaysia dan bagaimana ia seharusnya berinteraksi.
Oleh sebab asas politik Islam adalah memacakkan pengertian Rahmat sebagai wahana interaksi dan formula membuat dasar-dasar pemerintahan maka artikel ini akan fokus kepada aspek siyasah syariah yang diperjuangkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam merealisasikan maqasid syariah yang menjadi teras kepada syariat Islam.
Makna Rahmat
Rahmat membawa segala maksud kebaikan dan pemberian yang membawa kesejahteraan. Bagi Allah kemuncak RahmatNya adalah memberikan keampunan. Dengan itu kerahmatanNya mendahului kemarahanNya dalam hubungan Hablum Minnal Allah (hubungan dengan Allah).
Bagi Hablum Minnal Nas (hubungan sesama manusia) pula, Rahmat bermakna memberikan kebaikan dan kesejahteraan melalui santunan dan memaparkan keramahan dan ketamahan.
Nabi Muhammad menyifatkan dirinya sebagai nabi Ar Rahmah. Allah menggambarkan nabiNya sebagai Rahmatan Lil Alamin.
Sifat menyantun, sifat Ramat dan tamah menuntut GHB membumikannya dalam struktur organisasi, dasar yang hendak diperjuangkan dan budaya interaksi dalam suasana suhu meninggi politik Malaysia dan antarabangsa.
Membumikan dasar Islam Rahmat & ramah
Islam adalah untuk semua berpandukan kepada hadis yang menyebut bahawa ciri perbezaan Nabi Muhammad berbanding dengan risalah Anbiya sebelumnya adalah sifat Kaffatan Lin Nas (untuk keseluruhan bangsa manusia) sedangkan sebelumnya adalah Khassatan Lil Qaum (hanya untuk kaumnya sahaja).
GHB tidak boleh lagi berdolak-dalik atas prinsip ini dan untuk membumikannya dalam struktur organisasinya maka ia mesti membuka keahlian untuk semua warganegara yang layak dan sudah barang pasti untuk setiap warganegara yang layak menjadi ahli perlu meyakini dasar yang dipegang oleh gerakan itu iaitu Islam walaupun seseorang ahlinya itu tidak semestinya menganut agama Islam.
Islam pada hakikatnya dan sumbernya hanyalah satu berpandukan kepada Inna Addin Inda Allah Al Islam (agama di sisi Allah hanyalah Islam) namun pentafsiran Islam itu dipertontonkan oleh individu dan jemaah Islam terjelma dalam pelbagai rupa dan bentuk.
Dunia keliru apakah perwatakan sebenar Islam. Adakah ianya keras dan marah-marah? Ataupun ianya cair dan longga? Atau Islam itu agama makian dan cacian pada yang tidak menyokong pandangannya dan jemaahnya?
Islam yang menjadi inspirasi GHB ialah cirinya Syamilah atau Tadhamuniyah iaitu konsep keterangkuman. Dari dasar politiknya GHB mesti memperjuangkan nasib semua bangsa dan kaum serta pelbagai agama di negara ini sebagaimana ia juga perlu menyantuni semua peringkat strata sosial dan mengambil kira pelbagai aspek kesan keputusan politiknya.
Keterangkuman menuntut gaya interaksi ramah dan tamah lewat budaya dialog, perundingan dan laras bahasa yang menyantuni walaupun pada penentangnya. Keterangkuman juga menuntut isu yang diperjuangkan tidak eksklusif tetapi inklusif.
Persoalannya bukan sahaja soal agama tetapi juga ekonomi, pendidikan, sosial, budaya, perundangan dan antarabangsa. Keterangkuman juga melihat aspek perlaksanaan dengan mengambil kira perundangan negara, kerangka sistem politik tempatan dan antarabangsa.
Alat memahami dan membuat pertimbangan itu dalam siyasah syariah ialah Maalatul Afa’al (timbang kira kesan tindakan) yang diperuntukkan Islam. Ini termasuk kepada pelaksanaan Islam secara berperundangan seperti hudud.
GHB perlu berani mendepani pendekatan ini dan harus mempertahan prinsip siyasah syariah tanpa perlu terdesak dan tertekan oleh Islam yang dibawa oleh sesetengah kelompok yang sifatnya rigid dan keras kerana kejahilan tentang khazanah prinsip itu yang melimpah.
Syariah perlu dilihat dalam kerangka yang luas mendepani persoalan kehidupan keseluruhannya bukan sahaja soal undang-undang semata-mata.
Islam yang mesti diusahakan untuk dibawa oleh GHB ialah cirinya yang manusiawi berpandukan kepada Karamatul Insan yang dianjurkan oleh dalah surah Al Isra ayat 70.
Dasar yang melantun dari prinsip ini ialah mempertahankan hak. Sama ada hak itu diperuntukkan dalam Perlembagaan negara seperti Islam sebagai agama rasmi negara dan agama lain bebas untuk diamalkan, sama ada hak sama rata dalam mendapat keadilan seperti artikel 8 Perlembagaan Persekutuan mahupun hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah, Sarawak.
Kesemua hak itu lahir daripada Karamatul Insan (kemuliaan insan) yang cuba dipelihara oleh perlembagaan negara. Ini termasuk hak berhimpun dan berorganisasi serta memberikan pandangan adalah kebebasan yang perlu dipertahankan bukan disekat.
Hak Asasi Manusia perlu juga diperjuangkan oleh GHB dan perlu punya ketetapan sikap Islam yang Syamilah dalam melanggan persoalan besar ini.
Penetapan kepada piawaian akhlak yang dianjurkan oleh Islam perlu lewat pendidikan dan dakwah bukan menggunakan kekerasan dan semata-mata penguatkuasaan.
Lingkungan masalah akhlak terbahagi kepada ruang awam dan ruang peribadi. Hanya apabila ruang awam dicerobohi maka penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada perlu digunakan.
Selagi perilaku akhlak yang tidak mengikut piawaian Islam dilakukan secara ruang peribadi maka kesalahannya adalah antara pelaku dan Allah.
Jika kita mengetahui perbuatannya yang dilakukan dalam ruang peribadinya maka hendaklah menasihatinya dengan cara baik semoga ia menjadi umat Islam yang baik.
Dosa yang ditetapkan oleh syariat atas perbuatan tertentu tetap berdosa dan Allah membuka ruang untuk istighfar dan bertaubat, bezanya ialah apabila ia lakukan secara terang-terangan ataupun secara tertutup maka penguatkuasaan adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada.
GHB perlu tegas dalam meletakkan persoalan akhlak ini agar Islam itu tidak dijadikan alasan sebagai unsur pemaksaan tetapi perlu lebih banyak mendidik dan menunjukkan contoh yang baik.
Penerimaan wujudnya kepelbagaian adalah ciri Islam Rahmat & ramah yang mesti diusung oleh GHB. Kenyataan bahawa Allah menciptakan alam ini dan segala isi kandungannya dalam kepelbagaian adalah satu tanda kebesaran pencipta.
Di sebalik kebenaran yang diimani oleh umat Islam, ia tidak mewajarkan kebencian hubungan antara agama. Mudahnya, prinsip La Ikraha (Tiada Paksaan) adalah manifestasi kepada penghayatan Islam yang Rahmat dan ramah.
Memberikan hak kebebasan beragama adalah sebab kenapa Islam berkembang kerana Islam mengajar kita bahawa hanya Allah sahajalah yang memberi hidayah. interaksi yang wujud ialah berdialog dan berhujah dengan cara yang bertamadun.
GHB tidak boleh berkompromi dengan mengizinkan dirinya dibawa arus hanyut daripada fahaman agama yang dogmatik serta yang memaksa-maksa manusia.
Menterjemahkan siyasah syariah
Siyasah syariah adalah disiplin yang membicarakan tindak-tanduk pentadbiran sesebuah negara berpandukan kepada prinsip-prinsip syariat mengikut ketentuan semasa untuk mencapai maslahat kepada orang ramai yang dipimpin.
Memberi kehidupan yang selesa, ketetapan perundangan, penetapan cara pemerintahan dan menjaga keamanan dalam dan luar negara daripada diancam adalah tugas sebuah pemerintahan dengan mengambil kira kaedah yang boleh berubah mengikut hukum sama ada wujud atau tiada ataupun mengikut kaedah Maalatul Afa’al yang melihat kesan tindakan sama ada akan membawa mudarat atau maslahat, mahupun memakai kaedah aulawiyat (keutamaan) yang melihat keutamaan dalam mempertimbangkan perlaksanaan perintah Allah secara Wadhi’e.
GHB yang bakal menjadi platform politik untuk memerintah negara perlu ada sikap yang akan membentuk dasar yang jika ia memerintah, kerajaannya akan melaksanakan siyasah (polisi atau kebijakan) tertentu.
Contohnya ialah model negara yang digagaskan ialah negara Madaniyyah, budaya politik yang dibawanya ialah demokrasi, dasar pendidikannya ialah pendidikan rakyat, ekonomi yang digagaskan ialah menggarap jurang ketaksamaan manakala dasar sosialnya ialah peluang sama rata.
Begitu juga dasar buruhnya ialah pekerjaan dan produktiviti manakala dasar hijaunya ialah kelestarian dan tenaga boleh diperbaharui. Dasar hubungan antara agamanya ialah memelihara hak dan berdialog.
Ini antara contoh kepada tawaran yang bakal menentukan negara yang akan dibentuk selagi ianya tidak bercanggah dengan prinsip syariah dan membawa maslahat terbaik untuk semua.
Soal Islam dalam kerangka negara mestilah ditetapkan oleh peruntukan perlembagaan dan perundangan yang ada. Segala percanggahan dengan Islam dalam kerangka syariah perlu ditangani dengan kebijaksanaan siyasah syariah.
Jikalau sesuatu perkara tentang Islam memerlukan untuk dilontarkan dalam ruang lingkup pemerintahan maka hendaklah ianya diluluskan mengikut lunas demokrasi sebagai keabsahan sebagai sebahagian daripada polisi negara.
Percanggahan dalam melihat Islam dalam “Syariah vs Islam” dalam kerangka negara perlu ditangani secara objektif dan bukan emosi dan semua pihak perlu mencari jalan terbaik melalui proses demokrasi, dialog, pendidikan dan desakan yang diizinkan.
Penolakan atau perbahasan dalam kerangka negara isu Islam seharusnya tidak dilihat “menentang syariat Allah” tetapi ia perlu dilihat dalam bingkai kekangan peruntukan perundangan negara yang memerlukan proses demokrasi untuk menjayakannya.
Inilah yang membezakan pembawaan Islam secara politik dan Islam secara kekerasan.
Siyasah syariah juga menetapkan suasana setempat sebagai faktor utama mendefinisikan tindakan politik. Malaysia memerlukan satu ketetapan tentang suasana setempat dalam menentukan tindakan yang tidak bercanggah dengan prinsip syariah.
Suasana kemajmukan yang agak tinggi di Malaysia adalah unik dalam menetapkan panduan syariat dalam pemerintahan. Keperwakilan dalam Parlimen Malaysia yang membahaskan isu Islam sudah tentu tidak sama semangatnya dengan ahli Parlimen yang majoritinya umat Islam.
Peluang kepada ketegangan hubungan antara agama di Malaysia agak tinggi sehingga memerlukan keutamaan hubungan ini dipelihara berbanding dengan segala keperluan lain dan kerana itu isu Islam perlu dibawa dengan mengambil kira realiti ini.
Dengan kata lain GHB perlu menyediakan tapak untuk terbentuknya kaedah fiqh Malaysia mengikut kesesuaian suasana setempat.
Siyasah syariah menetapkan kerangka Perlembagaan negara sebagai realiti yang membentuk kedaulatan sesebuah negara hari ini.
Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan premis warganegara sebagai satu hak yang dilindungi. Umat Islam vs bukan Islam dalam pandangan premis ini sama sahaja dan oleh kerana itu kerangka umat Islam vs Kafir Harbiy atau Dzimmy sudah tidak relevan lagi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Diskriminasi agama atau kaum dilarang sama sekali dalam Perlembagaan Persekutuan dan GHB perlu tegas dalam menetapkan prinsip ini dalam suasana bentuk politik Malaysia yang berteraskan etnik dan ras.
GHB perlu tamatkan politik perkauman dengan menjanjikan Malaysia sebagai bebas perkauman jika ia ambil alih dan perlu menetapkan agendanya ke arah itu.
Sememangnya tidak mudah untuk mendatangkan sesuatu yang baru apatah lagi jika dikaitkan usaha ini adalah sesuai dengan tuntutan Islam.
GHB terpaksa berhadapan dalam medan falsafahnya terlebih dahulu kerana di sinilah pertembungan hebat berlaku antara kelompok Islam yang beroperasi di seluruh dunia.
Semasa pasca kebangkitan Arab membicarakan kegagalan politik Islam memenuhi kekosongan yang ditinggalkan regim diktator, Malaysia melalui proses demokrasi perlu membuktikan bahawa kewujudan politik Islam adalah sesuatu yang mungkin dan boleh berlaku.
Namun kemungkinan itu memerlukan parti berteraskan Islam merombak cara ia berfikir dan cara ia beroperasi dalam satu usaha Rejuvenasi dan Islah untuk meyakinkan dunia bahawa Islam Rahmat & ramah melalui khazanah siyasah syariah adalah kunci kepada perkara ini boleh berlaku. – 6 Ogos, 2015.
TMI