BERANIKAH PAS MENUNTUT RCI MEMALI YANG MENYELURUH?


1. Pemuda AMANAH memaklumi bahawa PAS melalui Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang telah mendesak ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung tragedi berdarah Memali pada tahun 1985. Tragedi yang mengorbankan 14 orang awam dan 4 anggota polis itu merupakan tragedi terburuk melibatkan rakyat negara ini selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

2. Persoalan yang Pemuda AMANAH mahu timbulkan di sini, beranikah PAS menuntut suatu RCI yang telus dan menyeluruh – merangkumi aspek punca dan elemen-elemen asas yang mendorong ke arah tragedi tersebut? Pada hemat kami, keseluruhan aspek ini penting untuk disiasat memandangkan pihak kerajaan telah pun membentangkan Kertas Putih Peristiwa Memali di Parlimen pada tahun 1986.

3. Menurut perenggan 15, 16 dan 17 Kertas Putih tersebut, tragedi Memali dipercayai berakar daripada ketaksuban terhadap ‘Amanat Haji Hadi’, merujuk kepada pidato Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong pada 1981. Bahkan lebih spesifik dalam perenggan ke-17, Muhamad Yusof bin Husin mengakui bahawa dirinya berpegang teguh dengan amanat itu dan berfahaman bahawa orang-orang UMNO itu kafir.

4. Pemuda AMANAH juga berpendirian, jika RCI tersebut tetap mahu ditubuhkan, siasatan perlu meliputi aspek-aspek penting berikut: a) Punca yang mendorong ke arah tangkapan allahyarham Ibrahim Libya. b) Punca yang menyemarakkan kegiatan takfiri ketika itu. c) Keganasan tindakan polis. d) Langkah kerajaan membendung fenomena takfiri. e) Kesan ‘Amanat Haji Hadi’ dan langkah pencegahan.

5. Besar harapan Pemuda AMANAH agar RCI ini mampu meleraikan segala kekusutan dan tidak akan dibangkitkan lagi. Sejarah adalah tentang keteladanan dan iktibar daripada satu-satu peristiwa. Kami bertekad agar tiada lagi episod takfiri, termasuklah pengulangan insiden ‘tanam jirat’ yang telah mencarik keharmonian rakyat. #BangkitBersama kita tolak takfiri dan bina semula masa depan negara.

“Menggalas Harapan Perubahan”
#PemudaBekerja

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *