1. Jufazli Shi Ahmad, pejuang keadilan dan penentang korupsi Sabah, telah bersusah payah untuk hadir dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Inspektor Yanti di satu lokasi pada malam 10 Nov 2016. Dia tidak dimaklumkan pun akan ditahan reman.
Ini membuktikan Jufazli adalah rakyat Malaysia yang sangat bertanggungjawab kepada negaranya dan sentiasa membantu polis dalam menyempurnakan siasatan mereka.
2. Jufazli tidak lari dan jauh sekali memaki hamun pegawai penyiasat yang tidak berterus terang untuk menahan dan melakukan tangkapan ke atasnya.
Satu pengorbanan kepada negara yang perlu dihargai seluruh rakyat Malaysia.
3. Pasukan peguam Jufazli telah meyakinkan kepada magistret yang bertugas bahawa Jufazli tidak lari dari penyiasatan atau lari dari dibicarakan kerana dia memang bertanggung atas apa yang ditulisnya mengenai penyelewengan dan korupsi Sabah di halaman FBnya.
Justeru, maka kita rakyat Malaysia ingin mendesak Pasukan Polis Diraja Malaysia agar:
i. Melepaskan segera Jufazli dari tahanan reman.
ii. Tidak menerbangkan Jufazli ke Sabah dan tidak memohon menambah hari tahanan reman untuk Jufazli.
iii. Menyiasat dan mendapatkan segala maklumat yang diperlukan daripada Jufazli tanpa meremannya.
iv. Mengambil segala maklumat daripada tulisan Jufazli di FB yang terbuka itu sebagai bukti untuk membicarakan beliau.
4. Sebenarnya, apa yang rakyat ingin lihat daripada PDRM ialah sikap profesional dan penggunaan teknik yang lebih sesuai dengan peredaran zaman yang semakin canggih dan ilmu pengetahuan rakyat yang sudah meningkat berbanding dengan kaedah menangani orang yang dituduh pada zaman sebelum merdeka atau pada era tahun 1960-an.
5. Bagi mendapat maklumat pada era teknologi digital ini, pihak PDRM boleh memperolehinya dalam tempoh yang singkat. Mensyaratkan reman sebagai satu-satu cara untuk mendapatkan maklumat dari tertuduh, adalah kaedah yang lapuk.
6. Mensyaratkan reman untuk setiap siasatan adalah sikap mengambil mudah selain kaedah yang menambah perbelanjaan kerajaan kerana menanggung kos makan minum, pakaian dan kos anggota di lokap.
Inspektor yang didatangkan dari Sabah memadai untuk menjalankan tugas bagi teman-teman mereka di sana.
Kes yang dilaporkan kepada magistret boleh diserahkan kepada seorang pegawai yang terlatih untuk membuka penyiasatan.
7. Apa perlunya membawa tahanan ke setiap balai polis untuk mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan sedangkan antara balai dengan balai itu boleh dihubungi dengan menggunakan teknologi digital?
Tidakkah ada jaringan internet yang canggih termasuk kemudahan tele-konferensi, jika kita mahu dan mengaturnya secara profesional sesuai dengan bajet yang besar yang kerajaan peruntukan untuk PDRM saban tahun?
8. Rakyat mahukan PDRM yang efesien dan efektif dan berupaya mencari dan mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk perbicaraan di mahkamah sesuai dengan peredaran zaman.
9. Pihak yang akan mengadili tertuduh dan kesnya adalah Hakim dan Magistret, bukan pegawai penyiasat yang hanya memerlukan bukti dari tertuduh.
Jauh sekali penglibatan ahli politik yang tersinggung dengan pendedahan yang cuba dilakukan oleh Jufazli.
10. Kini, rakyat Malaysia khasnya rakyat Sabah yang rasa malu dengan penyelewengan dan korupsi dalam sektor infrastruktur air tidak sabar-sabar lagi untuk menghantar wakil mereka ke mahkamah untuk mendengar hujah-hujah dan bukti- bukti lanjutan tentang penyelewengan pimpinan Barisan Nasional.
11. Ini bukan cerita hasutan, ini kes yang sarat dengan fakta kerana Jufazli mahu buktikan di mahkamah apa yang didakwa adalah benar demi kepentingan awam dan negara yang dicintainya.
Rakyat Sabah hidup susah dan miskin sedangkan lambakan kepingan wang yang begitu besar berada di pejabat dan rumah pegawai tertentu.
Entah berapa banyak lagi wang rakyat yang telah dibelanjakan selama ini tanpa kita ketahui.
12. Rakyat Malaysia harus bersyukur dan mengucapkan tahniah kerana adanya anak muda Sabah seperti Jufazli, dengan jiwa perjuangan keadilan dan menentang korupsi, bersedia mendedahkannya!
HASANUDDIN MOHD YUNUS
Naib Presiden
Parti AMANAH Negara
Jumaat 11 Safar 1438H
11 November 2016