AMANAH KUTUK TINDAKAN TERHADAP AHMAD HUSNI


mmanuar

KENYATAAN MEDIA*
AMANAH KUTUK TINDAKAN TERHADAP AHMAD HUSNI

www.amanah.org.my

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Umno BN mengheret bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk disiasat ekoran ucapannya mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di parlimen.

Dua lagi dijangka menerima nasib sama adalah bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal .

Bagi AMANAH Perdana Menteri Datuk Seri Najib kini sangat terdesak dalam usaha menyelamatkan dirinya sehinggakan ahli parlimen yang dilindungi hak keistimewaan di bawah Akta 63(2) Perlembagaan Persekutuan itupun mahu didakwa.

Sebagai seorang ahli parlimen, Datuk Seri Ahmad Husni hanya bertanya dan meminta penjelasan di dalam dewan yang mulia. Sepatutnya di dewan ini ahli parlimen boleh menyampaikan pandangan mewakili rakyat “without fear or favour” dan mempunyai imuniti daripada tindakan undang-undang.

Speaker dan seluruh ahli parlimen Umno sepatutnya mempertahan hak keistimewaan ini dan menjaga kemuliaan dewan bukannya bertindak menyokong tindakan ke atas bekas menteri ini semata-mata mahu membodek dan mengikut telunjuk Najib.

Adalah lebih jelik apabila ada pula NGO membuat laporan polis mendesak agar tindakan diambil kepada ahli parlimen yang bercakap tentang kepentingan rakyat ini. Saya tidak faham apa kepentingan NGO ini. NGO sepatutnya berjuang untuk kepentingan rakyat bukan mempertahan pemimpin korup yang sedang merosakkan negara.

Apa lagi institusi yang masih berdaulat di negara ini kalau parlimen sendiri sudah tiada kemuliaan dan keistimewaan untuk membela kepentingan rakyat?

Harapan Baru

MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
31 Oktober 2016