SHAH ALAM – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan pembentukan Kabinet baharu langsung ‘tidak bernafsu’ untuk mengembalikan negara ke laluan yang selamat.
Ketua Pemuda Amanah Nasional, Sany Hamzan berkata, rombakan Kabinet baharu yang diumum semalam masih tidak mempamerkan wajah dan bakat muda dalam pentadbiran baharu.
Malah menurutnya lagi, pembentukan Kabinet kali ini seolah-olah memperlihatkan kerajaan mengetepikan terus kedudukan bakat-bakat muda daripada parti-parti komponen khususnya parti-parti daripada Sabah dan Sarawak.
“Kita tertanya-tanya di mana kedudukan bakat-bakat muda dalam kabinet kali ini.Bakat daripada parti-parti komponen langsung tidak diberi ruang untuk dibawa dalam Jemaah Menteri kali ini.
“Belum lagi ditelusur bakat-bakat muda daripada MIC dan MCA yang langsung diketepikan terus. Jika ada pun, hanyalah muka lama,” ujarnya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, Najib masih mengulangi paten kabinet yang sama di mana peletakan jawatan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah menambah kesan buruk kepada pentadbiran negara
“Berapa juta lagi perdana menteri mahu bazirkan setiap tahun untuk membayar gaji dan elaun menteri-menteri yang rakyat rasakan sebagai membazir dan tidak perlu?
“Pokoknya, pembentukan Kabinet kali ini masih menunjukkan tiadanya anjakan baru yang mahu diaspirasikan oleh perdana menteri ketika ini,” katanya lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rombakan Kabinet baharu di Putrajaya, semalam.
Ia berikutan lima kekosongan jawatan, iaitu tiga menteri dan dua timbalan menteri.
Pengumuman tersebut dibuat dalam sidang media khas Kabinet di pejabatnya pada jam 3.15 petang.
Link: http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/amanah-kabinet-baharu-nampak-tidak-bernafsu-1.537392