'

Peguam negara perlu dakwa 1MDB kerana berbohong

hanipaTerdapat alasan bagi satu pertuduhan dikenakan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana menipu bank pusat, kata ketua biro undang-undang Parti Amanah Negara Mohamed Hanipa Maidin hari ini, menggesa peguam negara menimbang semula kes terhadap syarikat itu.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, tindakan peguam negara membersihkan 1MDB daripada sebarang kesalahan sebelum ini hanya dalam konteks Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 berkaitan tidak mendedahkan maklumat atau membuat pendedahan maklumat tidak lengkap kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapat kebenaran membuat pemindahan wang ke luar negara.

Tetapi, ia tidak bermakna 1MDB tidak bersalah daripada jenayah penipuan yang membuatkan firma pelaburan negara itu boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Pada pandangan saya, 1MDB jelas melakukan kesalahan jenayah menipu di bawah Kanun Keseksaan dan dengan itu, peguam negara, dengan penuh hormat, bertindak salah apabila tidak mendakwa 1MDB.
“Peguam negara seharusnya mendakwa IMDB di bawah seksyen 417 atau 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan menipu dan hukuman yang perlu dijalankan,” katanya.

Bank pusat itu berkata, ia membatalkan 3 kebenaran untuk pemindahan oleh 1MDB dari 2009 hingga 2011 disebabkan pendedahan maklumat tidak lengkap atau tidak tepat.

Hanipa berkata, kenyataan BNM itu membawa maksud wujud “penipuan di pihak 1MDB”.

“Yang dikatakan penipuan itu berlaku ketika 1MDB memberi pendedahan tidak tepat dan tidak lengkap, membawa kepada kebenaran secara haram diberikan kepada 1MDB untuk membuat pemindahan wang luar negara berjumlah AS$1.83 bilion.

“Daripada segi undang-undang, soalan yang penting untuk membuktikan wujud pembohongan ialah adakah BNM akan memberi kebenaran yang relevan itu sekiranya ia mengetahui dari awal, maklumat diberikan IMDB itu tidak tepat dan tidak lengkap?,” soalnya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bulan lalu menjelaskan, keputusannya tidak meneruskan pertuduhan terhadap 1MDB yang membuat pendedahan maklumat tidak tepat, ialah kerana bank pusat tidak mendapatkan maklumat mencukupi dari firma tersebut bagi membuktikan ia melanggar undang-undang.

Hanipa berkata, peguam negara perlu mengkaji dan menimbang semula keputusan terdahulu beliau yang membersihkan 1MDB daripada salah laku dan menjalankan kuasanya mendakwa firma itu atas kesalahan jenayah.

“Apabila ia melibatkan wang rakyat, rakyat berhak meletakkan kepercayaan mereka kepada agensi seperti BNM, ketua audit negara atau Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana orang atau badan yang meletakkan dana awam di tempat berisiko tinggi atau mengalami kerugian”.

Sumber: The Malaysian Insider

CATEGORIES
TAGS